...MINTA SHARE...
Memikat Hati Si Dia
"Ustaz, ana bakal melangsungkan perkahwinan Februari nanti. Harapnya, dapatlah ana dengar sedikit sebanyak nasihat dari ustaz sebagai bekal ana menempuh bahtera rumah tangga nanti."Seorang sahabat dari seberang laut bertanyakan nasihat saya di suatu sore.
"Alahai Azman, nta pun tahukan, ana ni tunang pon tidak, macam mana nak jawab soal nikah kahwin ni..?" Saya menambah humor, menyempitkan jurang kami.
"Kalau nta tanyakan pasal Fiqh Minoriti tentang rakan-rakan kita di Kutub Utara, mungkin ana boleh cuba jawab. Tapi, kalau soal rumah tangga ni, susah sikit untuk ana respon. Belum ada pengalaman!" Saya cuba mendekatkan lagi telinga dan hati beliau terhadap pesan saya selepas ini. Biar hati itu betul-betul terbuka luas untuk menerima, sebelum saya menyuapkan resepi agung untuk berumahtangga.
Bukan alim, bukan berpengalaman. Hanya berkongsi apa yang pernah saya baca dan jumpa. Berkawan dengan orang tua-tua menemukan saya silibus yang tak akan ditemui dalam bilik kuliah.
"Apa matlamat utama nta?" Saya cuba membuat tawaran.
"Ana nak membahagiakan isteri ana." Jawab beliau ikhlas. Nada suaranya sudah berubah. Sesuai dengan topik yang sedang kami bincangkan. Langkah ini langkah susah dan payah. Langkah kedua untuk mendirikan ummah yang berpayungkan khilafah.
"Kalau macam tu, senang sahaja. Pikat hati si dia. Ikatkan dengan hati nta. Pastikan hidup mati nta bersama. Bercinta hingga ke syurga, bak kata Us Hasrizal." Saya cuba mempromosikan produk.
"Nak pikat macam mana tu..? Boleh dikongsikan sedikit..?" Nada suaranya semakin ghairah untuk dijamukan resepi saya. Inilah masanya, umpan sudah mengena.
"Pertama sekali, selepas nta dan dia sudah halal dengan terlafaznya 'aku terima nikahnya', kucup dahinya dalam-dalam. Kalau berpeluang, kucuplah matanya. Kemudian, ucapkan di telinga si dia yang anta sangat cintakan si dia. Tapi, jangan lupa untuk ucapkan juga syukur pada yang mengurniakan cintanya pada anta, ALLAH. Sujud syukur! Lepas itu, ucapkan juga terima kasih yang tidak terhingga kerana sudi menerima anta sebagai peneman hidup." Saya sedikit bersungguh sewaktu bercerita.
"Aiwah, romantik pulak ustaz ni. Pasti cair hati isteri ana nanti." Galak suaranya dengan sedikit ketawa di seberang talian sana.
"Lepas tu, kalau berpeluang, rancangkan bulan madu bersama isteri. Tak perlu belanja yang tinggi, cuma pastikan peluang itu peluang yang berkualiti. Selaraskan komunikasi, selaraskan denyut nadi dan serasikan matlamat serta tujuan hidup masing-masing. Bersedia untuk menerima kekurangan dan mengiktiraf kelebihan masing-masing. Bincangkan masa depan dan satukan imaginasi antuma berdua."
"Sekali sekala, adakan surprise untuk si dia walau hanya sekuntum bunga. Kalau ada bajet yang lebih, mungkin boleh dibelikan sesuatu yang lebih berharga."
"Satu lagi, Nafkah. Ini perkara penting yang telah digariskan dalam syariat kita. Jangan lewat untuk menunaikan kewajipan anta walau isteri anta ada kerjaya."
"Seterusnya, jangan lupa, bila anta terpaksa berpisah atau tinggalkan si dia sementara waktu, kucup dahi dan matanya sebelum tinggalkan rumah dan selalukanlah untuk utuskan kata-kata rindu supaya hatinya sentiasa subur dengan bunga-bunga cintanya terhadap anta. Pastikan anta sentiasa menghubunginya setiap masa. Jangan terlewat walau sesaat cuma."
"Lebih penting, tunjukkan yang si dia lebih penting dari segala-galanya. Jangan pula anta liat untuk bertanyakan khabar kondisi si dia sedang dalam masa yang sama, anta saban hari memeriksa enjin dan kondisi Produa Myvi di depan tangga!" Sedikit humor saya selitkan dalam wasiat yang agak sinis ini. Lalu, sedikit gelakan dapat saya tangkap di hujung talian.
"Jangan lupa, bincangkan secara baik, jadual pulang berhari raya. Bimbang si dia terluka kalau tidak pulang ke rumah mertua anta. So, jangan kedekut untuk korbankan kampung halaman anta untuk kebahagiaan si dia."
"Huih, banyak benar ye petua ustaz, macam pakar! Ayat pula power, macam dah bercucu tiga. Ada lagi ke ustaz? Ana dah makin bersemangat ni." Azman semakin bersemangat. Setiap patah perkataan saya dicerap sebaik-baiknya. Respon pula sentiasa ada dicelahan setiap nasihat dan idea.
"Ye, ada lagi. Mungkin ini yang paling istimewa. Bila dah ada cahaya mata nanti, cinta anta akan terbahagi dua. Separuh untuk isteri dan separuh untuk anak-anak. So, jangan lupa untuk ungkapkan penghargaan yang tidak terhingga sepanjang tempoh hamil sehingga selepas bersalin. Ungkapan anta akan menjadi penguat semangat si dia untuk terus menempuh saat kritikal sepanjang tempoh hamil dan proses melahirkan bayi anta. Ana ada satu resepi rahsia".Saya memancing lagi.
"Apa tu ustaz, tolonglah jangan rahsia, nanti rumah tangga ana kurang bahagia." Usiknya sambil diselangi ketawa bahagia.
"Ok, resepi rahsianya, apabila anta sambut ulang tahun kelahiran anak-anak, hadiahkan juga cenderahati penghargaan kepada si dia yang berkorban 9 bulan mengandungkan anak-anak anta."
"Ada lagi ustaz?" Suaranya semakin galak.
"Habis. Setakat itu sahaja." Saya memutuskan kata-kata. Titik noktah diletakkan di hujung bicara.
"Hai, ana tengah bersemangat ni...jantung pun tengah kencang berdegup, janganlah berhenti mengejut begitu ustaz. Nanti boleh jatuh strok ana jadinya." Selorohnya meminta perbualan kami diperpanjangkan lagi.
"Kalau nta strok, wasiatkan tunang nta untuk ana." Saya berseloroh sambil ketawa bersahaja.
"Kalau nta masih sudi, masih ada resepi yang kurang menarik. Jarang orang suka mendengar resepi ini. Kalau anta betul-betul mahu, ana boleh sambung." Nada suara saya mendatar.
"Boleh, ana sedia. Ana tahu, pasti akan ada manfaatnya." Azman masih bersemangat.
Resepi ini bukan untuk memikat hati. Tapi untuk menghidupkan hati yang separuh mati. Mengesat air mata yang tak nampak alirannya. Meredakan pekikan suara hati yang tidak zahir bunyinya. Anta nak dengar ke? Nada saya bertukar sedikit serius.
"Apa tu ustaz?" Nadanya kini berubah.
Nta pernah kucup dahi ibu anta? Tanya saya ringkas.
"Belum." RIngkas juga jawapan Azman.
"Kucupi dahi ibu nta sebelum anta mengucup dahi isteri nta. Ibu itu yang berkorban 9 bulan mabuk, loya dan letih mengandungkan anta dan bersabung nyawa melahirkan anta. Mengasihi anta tanpa sebarang syarat ataupun mahar mahupun nafkah. Dahi ibu nta lebih layak untuk nta kucup sebelum nta kucup dahi isteri yang baru anta kenali beberapa bulan."
"Pernah anta berbulan madu dengan ibu? Berkongsi tujuan dan matlamat hidup dengan ibu? Bergurau senda dan bermanja-manja dengan ibu? Kalau belum, honeymoon dulu dengan ibu anta. Kelak nanti, hatinya tidak begitu remuk melihat bahagianya bulan madu nta bersama isteri dengan melupakan jasa ibu yang pernah meletakkan seluruh hidupnya untuk kebahagiaan nta. Bahagianya Honeymoon nta sehingga terlupa untuk menghubungi ibu anta di desa sana"
"Pernah nta berterima kasih pada ibu kerana melahirkan anta? Ibu yang sepanjang hidupnya menemani hidup anta? Kalau masih belum diungkapkan, segerakanlah ia sebelum anta berterima kasih kepada isteri yang sudi menjadi peneman hidup nta. Ibu tua itu lebih aula menerima ucapan itu."
"Pernah surprisekan ibu nta dengan sesuatu hadiah yang istimewa? Kalau belum, surprisekan dulu si ibu itu. Nescaya, hatinya kembali berbunga-bunga. Ibu itu pastinya sunyi bila kehilangan nta, anak kesayangannya."
"Sewaktu anta mengira belanja harian dan nafkah untuk isteri, fikirkan juga nafkah dan belanja untuk ibu anta yang tak bergaji di desa sana. Ibu itu telah membesarkan anta tanpa sebarang upah mahupun bayaran. Ye, duit yang anta akan kirimkan itu bukannya bayaran terhadap kasih sayang mereka, tapi ianya menjadi tanda yang nta juga masih mengingati malah menyayangi mereka."
"Man, ana yakin, mak anta sangat sunyi waktu ini. Saban detik, telinganya pasti ingin mendengar deringan dari seberang laut. Pasti matanya selalu menatap potret anta yang di gantung atau yang terselit di celah dompet. Hubungilah ibu anta sekerap yang mungkin. Kalaupun tidak seminggu sekali, pastikan dalam sebulan, khabar anta sampai kepada mak anta yang jauh di kampung."
"Man, kalau dengan satu ibu dan satu ayah, anta sudah tidak mampu untuk memikat hati kedua-duanya, ana bimbang lebih banyak hati-hati yang akan terluka selepas nta mempunyai dua ibu dan dua ayah."
Gelak ketawa bertukar menjadi esak dan sedu. Nada Azman yang riang kini berubah ke sebaliknya. Saya menghentikan kalam seketika. Suasana hening seheningnya. Hanya sedikit gangguan dari gelombang talian yang seakan-akan turut terpengaruh dengan suasana.
"Ana tak berniat untuk menghancurkan impian bahagia nta. Tapi, ana yakin dengan sempurnanya plot ini, nta akan lebih berbahagia. Ummat ini akan lebih berbahagia."
"Ana yakin yang anta sudah maklum. Bait Muslim tidak akan sempurna tanpa sempurnanya Individu Muslim. Begitulah juga, Masyarakat Muslim tidak akan lahir dari Bait Muslim yang tempang. Khilafah tidak akn terbina dengan Masyarakat yang tidak stabil. Bersemangatlah, kitalah pemulanya. Ana yakin, tarbiah yang nta lalui telah menjadikan nta Fardul Muslim yang baik. Tinggal lagi, Allah akan mendidik nta untuk melahirkan Bait Muslim yang baik. Adikku Azman, inilah jalannya."
"Go home and love your family."
Jawapan Mother Teresa selepas ditanyakan tentang bagaimana untuk mempromosikan keamanan kepada dunia. Pertanyaan itu diajukan beliau menerima Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1979.
Sebaik-baik kamu adalah oran yang paling baik hubungannya dengan ahli keluarganya. Dan aku adalah orang yang paling baik untuk keluargaku. Hadith
Pastikan perkahwinan kita membahagiakan sejuta hati. Memuaskan sejuta jiwa. Menghidupkan sejuta roh dan menyelamatkan sejuta ummah.
Mulailah dari diri kita. Dari rumah kita. Dari Isteri dan anak-anak kita. Dari masyarakat kita. Dari negeri kita. Dari negara kita. Moga payung khilafah akan menaungi kita kelak.
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah nasib mereka sendiri." Al-Quran
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan
P/S :kredit to the owner...cerita ini sangat menyentuh hati huhu~sedeyy~ sampai kami menitiskan air mata...ingatlah wahai anak-anak sekalian~ kami xtau la cemana org2 nyer yang sanggup sepak terajang mak dorg...tak tergamak rasenyer nk meninggikan suara apatah lagi tangan dan kaki..
Comments
Post a Comment